Saiful: Tukar PM sekarang akan cetuskan ketidakstabilan politik

Mohd Saiful Bukhari Azlan berkata tiada keperluan menukar perdana menteri apabila kerajaan baru hanya berusia empat bulan kerana ia akan menyebabkan ketidakstabilan politik.

Itu juga, katanya, adalah sebab beliau bertanding pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, iaitu bagi memastikan kestabilan politik di Malaysia.

“Kita tidak boleh ada ketidakstabilan politik (kerana) ada orang yang merancang untuk menjadi perdana menteri baru.

“Kerajaan sekarang ini baru memerintah empat bulan, kenapa kita harus tukar perdana menteri baru? Kenapa tak tunggu dua tahun, kemudian tukar?

“Jadi ikrar saya ialah jika rakyat di Port Dickson dan Malaysia mahukan kestabilan politik, undilah saya,” kata Mohd Saiful kepada pemberita hari ini di pusat penamaan calon di Port Dickson.

PRK Port Dickson bakal diadakan 13 Okt nanti susulan pengosongan kerusi itu oleh penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah yang mahu memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dimasukkan penjara pada 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pensabitan Anwar atas dakwaan liwat ke atas Mohd Saiful pada 2008. Ketika itu, Mohd Saiful adalah pembantu khas Anwar.

Bagaimanapun, Anwar diberikan pengampunan diraja pada 16 Mei lalu selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan.

Dalam manifesto HARAPAN, antara janji yang dinyatakan adalah untuk menjadikan Anwar perdana menteri selepas dua tahun bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad. Untuk tujuan itu, Anwar perlu menjadi anggota parlimen terlebih dahulu.

Mohd Saiful hari ini turut menegaskan bahawa keputusannya untuk bertanding di PRK Port Dickson bukan untuk membalas dendam.

“Mahkamah sudah memutuskan kes itu dan dia (Anwar) sudah menjalani hukuman.

“Keadilan sudah ditegakkan, jadi saya mahu bergerak ke hadapan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *