Mahathir Sedang Betulkan Kesilapan Dilakukannya..Doa Panjang Umur Allahyarham Ustaz Fadhil Noor Makbul?

Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipanjangkan usia bukan sekadar melihat impak daripada pemerintahannya sebelum ini tetapi sedang berusaha untuk membetulkan kembali kesilapan yang dilakukan, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Faiz Fadzil

Menurutnya, tekad bekas Perdana Menteri berkenaan untuk bersama Pakatan Harapan perlu disambut dengan tangan terbuka dalam usaha menumbangkan rejim pemerintah Umno-BN.

“Tun Mahathir sedar tentang sistem yang beliau rangka dulu memberi kesan kepada rakyat apabila pemimpin selepasnya membuat perkara jauh lebih teruk.

“Bila Tun Mahathir bersama kita, kalau niat dia nak membetulkan apa yang beliau dulu lakukan, itu satu kebaikan kepada rakyat juga akhirnya.

“Beliau sendiri pun sudah tegaskan hal untuk merombak kembali segala institusi di negara ini agak adil kepada rakyat sebaik Pakatan Harapan nanti diberi mandat di Putrajaya,” ujarnya ketika ditemui di Shah Alam, semalam.

Faiz berkata demikian ketika diminta mengulas tentang doa ayahnya, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor yang pernah mendoakan Tun Mahathir dipanjangkan usia agar dapat melihat sendiri kesan pemerintahannya.

Beliau berpendapat sesiapa sahaja yang hendak bersama gabungan pembangkang diterima lantaran perjuangan membebaskan rakyat daripada cengkaman Umno-BN bukan milik mana-mana individu atau parti.

“Itu yang berlaku pada zaman APU (Angkatan Perpaduan Ummah) dan Barisan Alternatif apabila Ustaz Fadzil menyambut perjuangan Tengku Razaleigh dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka berdua juga adalah bekas pemimpin Umno. Yang penting kita fokus untuk menjatuhkan Umno-BN. Ketepikan persepsi buruk yang sedang ditimbulkan. Kita fokus terlebih dahukludulu jatuhkan BN,” tegasnya.

Rakyat biasa

Mengulas lanjut, beliau berkata Tun Mahathir pada usia 93 tahun itu adalah rakyat biasa sama seperti rakyat Malaysia yang lain.

“Tun Mahathir bersama dengan perjuangan kita. Adalah lebih baik kita membentuk gabungan pembangkang yang konkrit.

“Kita perlu lihat sebuah kerajaan jadi zalim, rejim yang wujud disokong sangat kuat oleh orang atau Kabinet di sekelilingnya.

“Sebab itu kita lihat dulu, Tun Mahathir dan sekarang Najib Razak menjadi diktator kerana sokongan tidak berbelah bahagi oleh Kabinet.

“Apabila Tun mengambil pendirian untuk membuang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kabinet menyokong. Apabila Najib mengambil tindakan membuang Muhyiddin, Kabinet tidak membantah,” jelasnya.

Sehubungan itu, Faiz memberi jaminan bahawa sikap menyokong secara melulu walaupun mengundang mudarat tidak akan berlaku apabila Pakatan Harapan mendapat mandat pada PRU-14 ini.

“Itu tidak akan berlaku dalam Kabinet Pakatan Harapan. Kita berpegang pada semangat konsensus. Kita berpegang pada amalan berbincang terlebih dahulu,” tambahnya lagi.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *