Sehari sebelum PRU14, bapa Altantuya hubungi Tun Mahathir

Kurang daripada 24 jam sebelum rakyat Malaysia mengundi , ayah kepada rakyat Mongolia Altantuya Shaariibuu menghubungi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan membawa pesanan untuk rakyat Malaysia.

Dalam pesanan ringkas untuk Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Setev Shaariibuu berharap rakyat Malaysia akan mampu memperoleh kebebasan dan keadilan dalam pilihan raya umum (PRU) esok.

“Rakyat Malaysia, tolong ingat Altantuya dalam pilihan raya ini,” kata Setev.

“Jika rakyat Malaysia buat pilihan salah, anda semua mungkin akan kalah, seperti pembunuhan (Altantuya) ini, “tambahnya.

Setev turut mengepilkan gambarnya memegang bendera Malaysia, selain menandatangani pesanan tiga ayat itu.

“Dia (Altantuya) dibunuh 12 tahun lalu tapi belum ada penyelesaian dalam kesnya. Berapa lama kami harus tunggu.

“6 Mei merupakan hari kelahirannya. Dia kini berumur 40 sekiranya masih hidup hari ini.

“Memandangkan hari kelahirannya sama dengan tempoh kempen pilihan raya di Malaysia, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin – tolong jangan lupa Altantuya, undi dengan bijak,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, kerajaan memfailkan usul untuk meninggalkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengembalikan semula kerajaan sebagai defendan dalam saman yang difailkan Setev dan keluarga mendiang Altantuya yang dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Menurut peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, keluarga itu perlu memfailkan afidavit untuk menjawab usul berkenaan sebelum 6 Jun.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos tahun lalu membenarkan kerajaan membatalkan permohonan oleh keluarga Altantuya, dengan alasan “tiada sebab munasabah untuk tindakan”.

Bagaimanapun, tiga anggota mahkamah rayuan yang diketuai Hakim Mohd Zawawi Mohd Salleh sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi dan membenarkan rayuan keluarga berkenaan.

Mereka memutuskan terdapat isu untuk perbicaraan dan kerajaan disebutkan semula sebagai defendam dalam saman RM100 juta itu.

Setev dan dua anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga memfailkan saman sivil berkenaan pada 2007.

Kronologi kes pembunuhan Altantuya

KUALA LUMPUR – Berikut kronologi kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu:

2006:

26 Oktober: Cif Inspektor Azilah Hadri dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman ditangkap berhubung kehilangan Altantuya.

6 November: Korporal Sirul Azhar Umar dari unit yang sama turut ditangkap.

7 November: Penganalisis politik Abdul Razak Baginda ditahan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

15 November: Azilah dan Sirul dituduh bersama di Mahkamah Majistret di Shah Alam atas pembunuhan Altantuya. Mereka didakwa membunuh wanita itu di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735 di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi hari berikutnya.

16 November: Abdul Razak didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana bersubahat dengan Azilah dan Sirul dalam pembunuhan itu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 9.54 pagi dan 11.05 pagi pada 18 Oktober di tingkat 10 Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang.

2007:

19 Jun: Perbicaraan Abdul Razak dan dua anggota polis berkenaan atas pembunuhan Altantuya bermula.

2008:

31 Oktober: Mahkamah Tinggi membebaskan Abdul Razak tanpa memerintahnya membela diri selepas memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. Pada hari sama, Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Azilah dan Sirul Azhar serta memerintahkan mereka membela diri.

14 November: Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan pendakwaan tidak akan merayu terhadap pembebasan Abdul Razak.

2009:

15 Januari: Azilah dan Sirul Azhar memulakan pembelaan diri. Azilah memberi kenyataan bersumpah dari kandang saksi.

4 Februari: Sirul Azhar memberi kenyataan bela diri dari kandang tertuduh.

9 April: Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan dihukum gantung sampai mati.

10 April: Azilah memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

13 April: Sirul Azhar memfail notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman matinya.

2013:

24 Jun: Mahkamah Rayuan mendengar rayuan kedua-dua mereka.

23 Ogos: Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dikemukakan oleh Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan. Pendakwaan memfailkan rayuan pada hari sama.

2014:

23 Jun: Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan pihak pendakwaan. Perkara itu didengar selama tiga hari.

25 Jun: Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan mereka terhadap rayuan pendakwaan.

2015:

13 Januari: Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar terhadap tuduhan membunuh Altantuya dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka. Keputusan dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.

Panel rayuan itu dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Ahmad Maarop.

Bagaimanapun hanya Azilah yang hadir di mahkamah hari ini manakala tertuduh kedua Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah kerana berada di luar negara. – Bernama

  1. Sumber=
    1. https://m.malaysiakini.com/news/423642
    2. http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/kronologi-kes-pembunuhan-altantuya-1.350178

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *